ENG | BM
Buletin
Sara Ali Khan tidak kisah hadiri uji bakat lakonan

Penulis: Nisa Irina


Sara Ali Khan berpendapat pembikin filem berhak tahu kualiti lakonan seseorang pelakon.

5 Sep – Biarpun sudah dikenali ramai termasuk pembikin filem, namun aktres Sara Ali Khan memberitahu dia masih akan hadir ke uji bakat terlebih dahulu sebelum membintangi mana-mana filem.

"Saya akan menyertai sesi uji bakat seperti mana yang akan dilakukan oleh pelakon-pelakon baru yang lain kerana saya berpendapat bahawa pembikin filem berhak untuk tahu jika seseorang itu layak untuk membintangi filem mereka.

"Jika anda ingin terlibat dengan sesebuah projek, anda perlu bersedia untuk melakukan apa sahaja termasuk menghadiri sesi uji bakat dan ujian skrin tanpa bersikap sombong atau memegang apa-apa jawatan sekalipun," katanya.

Menurut laporan yang dipetik dari Times of India, Sara telah membuat debut dalam industri filem Bollywood menerusi filem "Kedarnath" di mana dia digandingkan bersama Sushant Singh Rajput.

Anak kepada aktor Saif Ali Khan itu sering mendapat penghargaan dan pujian atas lakonan mantapnya yang dapat dilihat menerusi filem-filem lakonannya.

Dalam pada itu, Sara akan membintangi filem "Brahmastra" arahan Ayan Mukerji bersama aktor Ranbir Kapoor, Amitabh Bachchan, Mouni Roy, Dimple Kapadia dan Akkineni Nagarjuna.

Selain "Brahmastra", Sara juga bakal tampil bersama aktor Varun Dhawan dalam filem "Coolie No. 1" yang merupakan sebuah 'remake' kepada filem lakonan Govinda dengan judul yang sama.

(Sumber foto: Bazaar Magazine)
(Sumber artikel: Times of India)


Cinema Online, 5 September 2019