ENG | BM
Buletin
Shah Rukh Khan bakal adaptasi "Money Heist" ke filem Hindi

Penulis: Ashraf Nasser


Ramai yang tertanya-tanya samada Shah Rukh Khan akan membintangi filem adapatasi ini atau tidak.

6 Ogos – Bintang terkenal Shah Rukh Khan dilaporkan bakal mengadaptasi siri televisyen dari Sepanyol popular berjudul "Money Heist" ke filem cereka Hindi.

Berita itu nyata membuatkan peminat teruja apabila Shah Rukh Khan bakal membuat kemunculan semula dalam dunia lakonan selepas berehat dari dunia seni sebelum ini.

Bagaimanapun, ramai yang tertanya-tanya samada dia akan membintangi filem itu atau hanya akan bertindak sebagai penerbit sahaja.

"Shah Rukh Khan telah diperkenalkan kepada siri tv "Money Heist" oleh salah seorang rakannya. Dia sangat menyukai rancangan itu dan percaya ia boleh diadaptasi ke filem cerita versi Hindi," ujar satu sumber kepada Mumbai Mirror.

"Money Heist" berkisarkan mengenai seorang lelaki misteri yang menggelarkan dirinya sebagai 'The Professor' merekrut lapan penjenayah dan melatih mereka untuk mencuri 2.4 billion Euro dari bank.

Bagaimanapun buat masa ini butiran lanjut mengenai filem ini masih lagi belum dapat didedahkan berikutan ia masih lagi diperingkat awal.

Kali terakhir Shah Rukh Khan beraksi di layar perak adalah menerusi filem "Zero" (2018) yang mana ia gagal mendapat kutipan pecah panggung, sekaligus membuatkan aktor itu mengambil keputusan untuk berehat seketika dari dunia seni.

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Deccanchronicle)


Cinema Online, 6 Ogos 2019