ENG | BM
Buletin
Sharifah Amani perjuangkan slot tayangan filem tempatan

Penulis: Ashraf Nasser

Sharifah Amani berharap pihak bertanggungjawab dapat selesai isu ini dengan segera.
Sharifah Amani berharap pihak bertanggungjawab dapat selesai isu ini dengan segera.

8 Okt – Pelakon Sharifah Amani terus berjuang untuk slot tayangan bagi filem-filem tempatan di pawagam, apabila merasakan karya tempatan mendapat layanan tidak adil oleh pawagam termasuk filem terbaru lakonannya berjudul "Motif" yang ditarik tayangannya selepas empat hari ditayangkan di pawagam baru-baru ini.

"Saya bukan pelakon 'special' pun untuk menerima layanan istimewa pihak pawagam. Semua filem bajet kecil yang bukan bernaung di bawah stesen televisyen seperti "Sepet", "Terbaik Dari Langit", "Pencuri Hati Mr Cinderella" juga menerima layanan sama sahaja daripada pihak pawagam sebelum ini.

"Alhamdulillah, pihak kami sudah mendapat maklum balas daripada FINAS yang berurusan dengan pihak pawagam untuk meneruskan slot tayangan filem "Motif"," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Tambah Sharifah Amani atau lebih mesra dengan panggilan Nani berkata, dia meluahkan rasa kecewanya itu bukan kerana filem "Motif" sahaja, tetapi turut memperjuangkan filem-filem tempatan lain yang turut menerima nasib yang sama.

Menurut Nani, isu mengenai slot tayangan filem tempatan ini bukanlah perkara baru, sebaliknya sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu yang mana sehingga kini ia masih belum selesai.

Jelasnya lagi, dia enggan bercakap mengenai soal kutipan filem kerana dia hanyalah seorang pelakon, namun dia bersuara kerana bimbang dengan masa depan industri perfileman tanah air.

Berikutan itu pelakon berusia 33 tahun itu berharap perkara itu akan mendapat perhatian oleh pihak bertanggungjawab.

(Sumber foto: Sharifah Amani Instagram)


Cinema Online, 8 Oktober 2019