ENG | BM
Buletin
Singkap kisah tragis di sebalik "Dendam Pontianak"

Penulis: Nisa Irina


Pengarah Gavin Yap bersama barisan pelakon yang hadir di malam gala tayangan perdana
filem "Dendam Pontianak" di mmCineplexes eCurve, Damansara.

4 Sep – Industri filem tempatan sering disajikan dengan naskhah-naskhah bergenre seram mengenai mitos Pontianak yang digeruni oleh penduduk di Asia Tenggara.

Namun apa yang ingin disampaikan oleh dua pengarah dari Malaysia dan Singapura, Gavin Yap dan Glen Goei, menerusi filem terbaru "Dendam Pontianak" bukanlah seperti kisah-kisah seram yang tipikal sebelum ini.

Filem ini akan membawa penonton menyingkap semula kisah tragis di sebalik dendam Pontianak, iaitu roh wanita mengandung yang mati ketika melahirkan anak, yang tercetus akibat cinta, pengkhianatan dan kehilangan.

"Intipati filem ini adalah tentang cinta dan apakah akibatnya jika cinta sejati itu dikhianati. Segala penceritaan dan paparan tragedi baik dan buruk yang menimpa semua watak-watak di dalam filem ini sememangnya bermula dari cinta," ujar pengarah Gavin Yap yang ditemui di majlis sidang media selepas tayangan perdana filem "Dendam Pontianak" di mmCineplexes eCurve, Damansara semalam.

Biarpun filem ini mengetengahkan tema era 60-an Melayu klasik, pengarah masih mengekalkan konsep revisionisme dan kontemporari agar ia sesuai buat tontonan semua peringkat umur.

"Idea kami adalah untuk menghasilkan sebuah jalan cerita yang lebih segar dan terkini dan pada masa yang sama, mengekalkan elemen klasik dari filem-filem Pontianak tahun 50-an dan 60-an.

"Bagi kami, cara untuk mengekalkan motif yang sama tetapi dari sudut yang baru adalah untuk lebih fokus kepada watak Pontianak itu sendiri dan tentang kisah peribadinya.

"Filem ini juga meneroka kebarangkalian sifat rakus yang wujud dalam diri manusia. Jika diuji tahap kesabarannya, tidakkah manusia itu sendiri juga akan berubah dan memberontak?" jelas Gavin dengan lebih lanjut.


Nur Fazura dan Remy Ishak adalah peneraju utama filem "Dendam Pontianak".

Dalam pada itu, Gavin berharap filem ini dapat menghiburkan penonton sekaligus memperkenalkan semula kisah Pontianak kepada generasi baru menerusi sebuah naskhah seram yang penuh dengan elemen klasik.

"Dendam Pontianak" menggabungkan dua pelakon hebat tanah air di layar lebar buat kali pertama iaitu Nur Fazura dan Remy Ishak sebagai peneraju utama dalam filem.

Selain itu, filem seram romantik ini turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Hisyam Hamid, Shenty Feliziana, Namron, Tony Eusoff, Nadiah M.Din, Wan Hanafi Su, Nadia Aqilah dan Nik Harraz Danish.

"Dendam Pontianak" akan menghantui penonton di pawagam bermula 12 September ini.


Cinema Online, 4 September 2019