ENG | BM
Buletin
Sonam Kapoor tidak selektif terhadap genre filem

Penulis: Nisa Irina


Sonam Kapoor berasa bertuah kerana pengarah percaya dia mampu
jayakan pelbagai genre filem.

2 Sep – Aktres Sonam Kapoor memberitahu dia akan cuba untuk mempelbagaikan genre dalam lakonannya walaupun merasakan dirinya lebih berbakat melakukan genre komedi.

"Saya akan mencuba pelbagai genre dalam setiap filem. Antara filem yang saya bintangi sebelum ini ialah "Ek Ladki Ko Dekha Toh Aisa Laga", "Veerey Di Wedding", "Padman" dan "Sanju".

"Saya berasa sangat bertuah kerana pengarah yakin saya boleh menjayakan filem seperti "Neerja" dan "The Zoya Factor"," katanya menerusi laporan dari India West.

Tambahnya lagi, dia berasa lebih selesa dan mudah untuk melakonkan watak komedi. Aktres berusia 34 tahun itu berpendapat bahawa tidak banyak filem pada masa kini yang mempunyai kandungan bagus dan dalam masa yang sama menghiburkan.

Filem terbaru lakonannya iaitu "The Zoya Factor" diadaptasi dari sebuah novel karya Anuja Chauhan pada tahun 2008 dengan judul yang sama.

Sonam menggalas watak sebagai seorang pegawai eksekutif dari sebuah syarikat pengiklanan bernama Zoya Solanki, yang kemudiannya dianggap membawa tuah kepada pasukan kriket India semasa Piala Dunia Kricket 2011.

Diarahkan oleh Abhishek Sharma, filem itu turut dibintangi Dulquer Salmaan sebagai ketua pasukan kriket India bernama Nikhil Khoda.

"The Zoya Factor" akan ditayangkan di pawagam bermula 20 September depan.

(Sumber foto: Southcelebrities.com)
(Sumber artikel: India West)


Cinema Online, 2 September 2019