ENG | BM
Buletin
Shah Rukh Khan bakal buat 'cameo' dalam "Brahmastra"

Penulis: Nisa Irina

Kali terakhir Shah Rukh Khan dilihat di layar perak adalah menerusi filem "Zero".
Kali terakhir Shah Rukh Khan dilihat di layar perak adalah menerusi filem "Zero".

2 Nov – Berita baik buat peminat bintang terkenal Shah Rukh Khan apabila dia bakal kembali ke layar perak menerusi filem ketiga arahan Ayan Mukerji, "Brahmastra".

Seperti yang dilaporkan menerusi Mumbai Mirror, Shah Rukh Khan disahkan akan membuat penampilan 'cameo' yang juga salah sebuah watak penting dalam filem tersebut.

"Ia adalah sebuah penampilan khas tetapi Shah Rukh Khan menggalas peranan penting dalam perjalanan hidup Ranbir Kapoor.

"Dia telah pun berbincang dengan kami mengenai tarikh-tarikh yang sesuai dan akan menjalani penggambaran sebelum tahun ini berakhir," dedah satu sumber terdekat.

Filem bertemakan pengembaraan fantasi adiwira itu merupakan naskhah terbitan Karan Johar dan diterajui oleh aktor Ranbir Kapoor, Amitabh Bachchan serta aktres Alia Bhatt.

Terdahulu, Karan pernah mengumumkan filem itu bakal dijadikan sebagai sebuah trilogi dan akan dibikin dalam tempoh sepuluh tahun.

Buat pengetahuan lanjut, ini bukanlah kali pertama Shah Rukh Khan berkongsi skrin dengan Ranbir. Sebelumnya, Shah Rukh Khan pernah tampil sebagai 'cameo' dalam filem dibintangi Ranbir iaitu "Ae Dil Hai Mushkil".

Filem "Brahmastra" dijadual untuk ditayangkan pada Hari Krismas tahun ini namun tarikh tayangannya ditunda hingga ke musim panas 2020.

(Sumber foto: Wikipedia)
(Sumber artikel: Mumbai Mirror)


Cinema Online, 2 November 2019