ENG | BM
Buletin
"Suatu Ketika" mahu pupuk semula semangat perpaduan rakyat Malaysia

Penulis: Ashraf Nasser


Pengarah Prakash Murugiah bersama barisan pelakon-pelakon "Suatu Ketika".

5 Sep – Pengarah filem Prakash Murugiah memberitahu filem arahannya "Suatu Ketika" adalah sebuah naskhah yang mempunyai tujuan untuk memberi inspirasi dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

"Saya berasal dari Melaka dan bergaul dengan banyak kaum dan bangsa sepanjang membesar yang mana ia merupakan satu pengalaman yang indah buat saya. Namun jika kita lihat keadaan ketika ini perpaduan antara kaum dilihat semakin rengang.

"Oleh itu saya mahu kembalikan perpaduan yang pernah kita kecapi satu masa dahulu dan menerusi filem ini saya harap ia sedikit sebanyak dapat membuka mata anak-anak muda mengenai perpaduan tanpa mengira kaum dan bangsa," ujarnya yang ditemui selepas tayangan "Suatu Ketika" di GSC Mid Valley semalam.

Tambah Prakash lagi, filemnya ini bukan sahaja berkisarkan mengenai perpaduan rakyat Malaysia tetapi juga dapat memberi inspirasi terutamanya kepada anak-anak muda untuk mereka terus bersemangat dan tidak putus asa dalam mengejar apa sahaja impian mereka.

Menurut pengarah berbakat besar ini lagi, menampilkan ramai pelakon kanak-kanak sebagai peneraju merupakan satu cabaran besar buatnya namun ianya satu pengalaman cukup berharga dan dia berasa sangat bersyukur apabila setiap daripada mereka memberikan komitmen yang cukup tinggi sepanjang proses pembikinan filem.

"Saya perlu ucapkan ribuan terima kasih kepada dua pelakon tersohor tanah air iaitu Namron dan Pekin Ibrahim yang sanggup mengadakan kelas lakonan buat kesemua pelakon kanak-kanak ini selama hampir tiga bulan. Ternyata ilmu yang dicurahkan kepada pelakon kanak-kanak ini berjaya diterjermahkan menerusi lakonan mereka."

"Suatu Ketika" berkisarkan mengenai sekumpulan pelajar sekolah yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum menubuhkan pasukan bola sepak untuk menyertai pertandingan bola sepak. Walaupun serba kekurangan, namun dengan semangat dan tidak mudah putus asa mereka tekad untuk capai cita-cita mereka.

Filem terbitan Kash Pictures Sdn Bhd ini bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 12 September ini bersempena dengan bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia.


Cinema Online, 5 September 2019