ENG | BM
Buletin
Suhana Khan bintangi filem pendek "The Grey Part of Blue"

Penulis: Nisa Irina


Suhana Khan sentiasa menyimpan impian untuk menjadi seorang aktres.

22 Ogos – Anak perempuan kepada bintang terkenal Bollywood Shah Rukh Khan iaitu Suhana Khan akhirnya mengorak langkah ke dunia lakonan dengan membintangi sebuah filem pendek berjudul "The Grey Part of Blue".

Filem pendek itu diarahkan oleh rakan sekelas Suhana, Theodore Gimeno, dan beberapa keping poster telah pun dimuat naik oleh Theodore menerusi laman Instagram miliknya pada awal bulan ini.

Selain Suhana, filem pendek itu turut menampilkan aktor filem "Drown" 2015, Robin Gonnella. Sesi penggambaran telah selesai dijalankan pada bulan Disember tahun lalu dan dikongsikan menerusi foto-foto di sebalik tabir yang dimuat naik oleh Theodore.

Dalam pada itu, laporan dari Times of India menyatakan Suhana, yang baru sahaja tamat belajar, kini sedang membuat persiapan bagi debut filem Bollywoodnya.

Memandangkan bapanya adalah salah seorang bintang besar dalam industri, Suhana banyak meluangkan masa menonton filem-filem lama lakonan Shah Rukh Khan di sebuah pawagam di Mannat.

Sebelum ini, Suhana juga pernah melibatkan diri dalam sebuah pementasan teater berjudul "Romeo and Juliet" semasa berada di zaman kolejnya.

Rata-rata peminat serta rakan artis teruja dan memberi sokongan penuh terhadap aktres berusia 19 tahun itu kerana berminat untuk mengikut jejak langkah bapanya, Shah Rukh Khan.

(Sumber foto: Vogue India)
(Sumber artikel: Times of India)


Cinema Online, 22 Ogos 2019