ENG | BM
Buletin
Suhana Khan sambung belajar di New York

Penulis: Nisa Irina


Suhana Khan lebih memberi tumpuan kepada pelajaran.

31 Ogos – Baru dua bulan selepas menamatkan pengajian di England, kini anak kepada bintang terkenal Shah Rukh Khan kembali ke alam universiti dengan menyambung pengajiannya di Universiti New York, Amerika Syarikat.

Kedua-dua ibu bapanya, Shah Rukh Khan dan Gauri dilihat berasa bangga dengan pencapaian anak perempuan mereka yang menyambung pengajian dalam kursus perfileman menerusi foto-foto yang dimuat naik di laman Instagram.

Menerusi laporan dari Pinkvilla, rakan baiknya yang juga aktres, Ananya Panday telah mendedahkan bahawa Suhana akan menyambung pengajian di Universiti New York selama beberapa tahun selain membuat debut dalam filem Bollywood.

"Sebenarnya dia akan sambung belajar di sekolah perfileman di bandar New York. Saya rasa dia ingin menamatkan pengajian terlebih dahulu sebelum pulang ke India dan mula berlakon.

"Dia adalah pelakon yang bagus seperti yang dilihat dalam rakaman video di media sosial. Saya akan sentiasa menyokong apa jua pilihannya kerana saya sudah menganggapnya sebagai adik perempuan saya sendiri," ujar Ananya.

Terdahulu, Suhana telah memenangi anugerah pada hari konvokesyen di Ardingly College, Sussex, berikutan pembabitannya dalam sebuah drama pendek arahan rakan sekelasnya.

Suhana bakal melibatkan diri dalam bidang lakonan seperti bapanya sejurus menamatkan pengajian. Rata-rata peminat dan rakan selebriti dilihat menyokong minat aktres muda itu kerana mengikut jejak langkah Shah Rukh Khan.

(Sumber foto: Vogue India)
(Sumber artikel: Pinkvilla)


Cinema Online, 31 Ogos 2019