ENG | BM
Buletin
Sunny Leone ulas isu plagiarisme karya seni

Penulis: Nisa Irina

Sunny Leone tampil memberi penjelasan di atas tindakannya.
Sunny Leone tampil memberi penjelasan di atas tindakannya.

31 Oct– Pada awal Oktober lalu aktres Sunny Leone telah menyertai sebuah program amal demi membantu golongan pesakit kanser dengan menjual hasil lukisan dan barang kemas miliknya bagi mengumpul dana.

Baru-baru ini, Sunny dilanda kontroversi apabila sebuah akaun Instagram terkenal Diet Sabya, menuduhnya menciplak hasil karya asli pelukis Malika Favre tanpa memberi sebarang kredit atau penghargaan kepada pelukis tersebut.

Lantaran itu, Sunny tidak berdiam diri sebaliknya membalas kenyataan itu menerusi ruang komen di bawah fotonya bersama lukisan yang dimuat naik oleh akaun Instagram tersebut.

"Hanya ingin memberi anda informasi yang betul, saya diberi sekeping foto karya lukisan ini. Kemudian saya bercadang untuk melukisnya sendiri! Saya tidak pernah menyatakan bahawa ia adalah idea saya.

"Saya hanya melukis sebuah karya seni yang saya pernah lihat dan suka. Sepatutnya ia perlu dipaparkan sebagai pujian memandangkan hasil jualannya akan disumbangkan kepada pesakit kanser bagi program amal.

"Saya minta maaf jika anda tidak menyukai versi yang saya pilih untuk hasilkan dalam cuba membantu golongan kanak-kanak yang memerlukan. Lukisan itu bukan mengenai anda atau saya. Ia hanya untuk menghulurkan bantuan," ulasnya yang dipetik dari India Today.

Dalam pada itu, Malika turut meluahkan rasa kesal kerana tidak diberikan penghargaan atas hasil karyanya dan menyatakan isu hak cipta merupakan sesuatu yang perlu dianggap penting.

Beralih ke perkembangan lain, Sunny akan tampil menerusi filem komedi romantik arahan Debamitra Biswal berjudul "Motichoor Chaknachoor" bersama pelakon lain seperti Nawazuddin Siddiqui dan Athiya Shetty.

(Sumber foto: Magzter)

(Sumber artikel: India Today)


Cinema Online, 31 Oktober 2019