ENG | BM
Buletin
Sushant Singh Rajput bakal sertai Misi Ke Bulan NASA 2024?

Penulis: Nisa Irina

Sushant Singh Rajput ingin dapatkan sijil jurulatih angkasawan yang diiktiraf oleh NASA.
Sushant Singh Rajput ingin dapatkan sijil jurulatih angkasawan yang diiktiraf oleh NASA.

27 Sep – Aktor Sushant Singh Rajput dilaporkan bakal menjalani latihan angkasawan di agensi angkasa terkemuka, National Aeronautics and Space Administration (NASA) Houston, Amerika Syarikat.

Umum mengetahui Sushant sudah lama menyimpan impian untuk ke angkasa lepas dan dilihat sering berkongsi maklumat mengenai perkara itu menerusi laman sosial.

Menurut laporan dari Filmfare, aktor itu ingin menamatkan kursus jurulatih yang diiktiraf seperti mana dilakukannya pada dua tahun lalu untuk filem "Chanda Mama Door Ke".

Namun begitu, atas sebab jadualnya padat dengan komitmen beberapa projek filem lain, Sushant terpaksa menarik diri dari filem tersebut.

"Saya pernah menyertai kursus di NASA pada dua tahun lalu. Pihak yang melatih saya memberitahu jika saya menyertai kursus itu selama beberapa minggu lagi, saya akan diberi sijil sebagai jurulatih.

"Jadi sekarang, saya bercadang untuk pergi ke Houston untuk melengkapkan kursus tersebut. Ia terdiri daripada pelbagai jenis maklumat yang kita perlu tahu jika ingin ke angkasa lepas, termasuk duduk di dalam bilik anti-graviti," jelasnya.

Dalam pada itu, aktor yang memiliki sebuah teleskop angkasa lepas Meade 12 LX600 itu berharap dia dapat menyertai Misi Ke Bulan NASA 2024 jika diberi peluang.

Dalam perkembangan baru, Sushant tampil dalam filem terbarunya bersama Shraddha Kapoor dan Varun Sharma berjudul "Chhihhore", yang baru ditayangkan di pawagam pada awal bulan ini.

(Sumber foto: CineBlitz)
(Sumber artikel: Filmfare)


Cinema Online, 27 September 2019