ENG | BM
Buletin
Syafiq Kyle: Bukan mudah untuk berlakon dalam "Pusaka"

Penulis: Nisa Irina

Syafiq Kyle rasa tercabar oleh pengarah Razaisyam Rashid dalam filem "Pusaka".
Syafiq Kyle rasa tercabar oleh pengarah Razaisyam Rashid dalam filem "Pusaka".

27 Sep – Bakal tampil dalam filem seram keduanya, "Pusaka", pelakon Syafiq Kyle mendedahkan dia telah berdepan pelbagai cabaran sepanjang menjalankan penggambaran filem tersebut selama 30 hari.

Menerusi filem arahan Razaisyam Rashid itu, Syafiq diberikan tanggungjawab untuk menggalas watak seorang anggota polis, Inspektor Nuar Ishak, perlu menyelesaikan kes pembunuhan seorang gadis yang melibatkan perkara mistik.

"Antara cabaran yang saya hadapi ketika penggambaran adalah babak dimana saya kena 'rigging' sehingga saya cedera di bahagian punggung. Bagi saya untuk berlakon di atas 'rigging' bukanlah sesuatu yang mudah.

"Lagak aksi yang saya perlu saya lakonkan dalam filem ini tidak terlalu banyak dan semuanya saya lakukan sendiri. Bila saya tonton pelakon lain filem-filem aksi, saya rasa saya boleh buat tetapi bila saya cuba lakonkan sendiri ia sebenarnya tidak mudah," katanya.

Syafiq, atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, ditemui di sesi sidang media selepas majlis pelancaran filem "Pusaka" di Bukit Lanjan, Kuala Lumpur, semalam.


Pengarah dan barisan pelakon yang hadir di majlis pelancaran filem
"Pusaka" di Bukit Lanjan, Kuala Lumpur.

Selain itu, Syafiq turut mendedahkan dia dicabar oleh pengarah untuk melihat sejauh mana kemampuan lakonan bagi wataknya supaya tidak berada dalam zon selesa, setiap hari di set penggambaran.

"Saya rasa saya kena tingkatkan lagi mutu lakonan saya kerana Razaisyam adalah seorang pengarah muda yang sudah banyak bekerjasama dengan pelakon-pelakon yang hebat dan berpengalaman. Alhamdulillah, saya banyak belajar benda baru sepanjang tiga minggu sesi latihan.

"Sebagai pelakon baru berjinak-jinak dalam filem sebegini, saya rasa dihargai oleh pengarah yang banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar. Dia tidak pernah merendah-rendahkan kekurangan saya dan setiap hari saya akan memperbaiki lakonan saya sehingga dia puas hati," tambahnya lagi.

Selepas dinobatkan sebagai pemenang kategori Pelakon TV Lelaki Popular Alha Alfa bagi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-32 baru-baru ini, Syafiq berkata dia tidak akan menggunakan kemenangan dan populariti untuk menjual dirinya, sebaliknya akan terus meningkatkan kualiti lakonan pada masa akan datang.

Selain Syafiq, filem "Pusaka" terbitan Astro Shaw turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Mimi Lana, Hafidz Roshdi, Sweet Qismina, Ogy Ahmad Daud, Faizal Hussein, Draman Muhammad, Aloy Paradox, Yuna Rahim dan ramai lagi.

Treler filem baru sahaja dilancarkan di saluran YouTube rasmi Astro Shaw dan filem itu bakal menghantui penonton di pawagam bermula 31 Oktober ini.


Cinema Online, 27 September 2019