ENG | BM
Buletin
Tiger Shroff tak akan promosikan "War" bersama Hrithik Roshan?

Penulis: Nisa Irina


Tiger Shroff dan Hrithik Roshan turut 'bermusuhan' di luar skrin.

25 Sep – Dalam pada aktor Tiger Shroff dan Hrithik Roshan sibuk mempromosikan filem terbaru mereka, "War", kedua-dua mereka tidak akan dilihat berkongsi pentas bersama.

Menerusi filem arahan Siddharth Anand itu, Tiger akan membawa watak sebagai Khalid, seorang tentera yang ditugaskan untuk mencari dan menumpaskan seorang bekas tentera bertukar pengganas bernama Kabir, yang dilakonkan oleh Hrithik.

Bagi menghidupkan lagi permusuhan di antara watak mereka di luar skrin, Siddharth bercadang untuk mengasingkan kedua-dua mereka sepanjang sesi promosi filem berlangsung.

Justeru, Tiger dan Hrithik tidak akan bertemu sepanjang sesi promosi filem dan akan melakukan promosi itu secara berasingan pada hari dan tarikh yang berbeza.

""War" menampilkan dua orang bintang filem aksi dalam pertarungan ini dan kami ingin penonton menyaksikan gandingan Tiger dan Hrithik buat kali pertama hanya dalam filem.

"Kami ingin hidupkan lagi 'permusuhan' mereka bagi membangkitkan rasa keterujaan penonton untuk menyaksikan filem ini.

"Hrithik dan Tiger telah bergaduh sesama sendiri tanpa belas kasihan dan kami ingin membawa permusuhan dalam skrin ini ke luar skrin," jelasnya.

Seperti yang dilaporkan menerusi Hindustan Times, "War" telah difilemkan di tujuh buah negara dan 15 bandar berbeza. Empat orang pakar aksi lagak ngeri telah dipertanggungjawabkan untuk melatih koreografi aksi yang tidak pernah dilihat di skrin lebar sebelum ini.

Diterbitkan oleh Yash Raj Films, filem yang padat dengan aksi itu akan dirilis dalam versi Hindi, Tamil dan Telugu pada 2 Oktober ini.

(Sumber foto: Tiger Shroff Twitter)
(Sumber artikel: Hindustan Times)


Cinema Online, 25 September 2019