ENG | BM
Buletin
Tiger Shroff bakal tubuhkan gim MMA kedua

Penulis: Nisa Irina

Tiger Shroff mempelajari seni bela diri MMA sejak berusia lima tahun.
Tiger Shroff mempelajari seni bela diri MMA sejak berusia lima tahun.

31 Okt– Aktor Tiger Shroff yang menjayakan filem aksi "War" baru-baru ini bakal menubuhkan francais gim 'Mixed Martial Arts' (MMA) keduanya di Bareilly, Uttar Pradesh.

Sehubungan dengan itu, Tiger bakal bekerjasama dengan adiknya, Krishna Shroff, dan aktres Jacqueline Fernandez bersama jurulatih Alan bagi menghadiri majlis perasmian gim tersebut.

Sebelumnya, Tiger, yang meminati seni bela diri itu sejak berusia lima tahun, telah menubuhkan gim MMA pertamanya bersama Krishna di Mumbai pada Disember 2018 dan gim itu telah mendapat sambutan ramai.

Menurut laporan yang dipetik dari Deccan Chronicle, penubuhan gim oleh dua beradik itu bertujuan untuk mendorong orang ramai mempelajari dan memahirkan ilmu seni bela diri tersebut.

Gim yang diberi nama MMA Matrix itu dilengkapi dengan alatan dan kelengkapan gim yang canggih dan terkini sebagai kemudahan kepada para pengguna.

Sebagai langkah mempromosikan seni bela diri itu di India, mereka telah menganjurkan Matrix Fight Night 1 di Mumbai pada Mac dan Matrix Fight Night 2 di New Delhi pada Jun lalu.

Memandangkan kedua-dua buah acara itu berlangsung dengan jayanya, mereka kini bercadang untuk menganjurkan Matrix Fight Night 3 tidak lama lagi.

Segala informasi mengenai MMA Matrix boleh dilayari menerusi laman web rasmi gim tersebut di mana pengguna boleh mendapatkan butiran lanjut mengenai pakej-pakej yang ditawarkan berserta yuran keahlian.

(Sumber foto: GQ India)

(Sumber artikel: Deccan Chronicle)


Cinema Online, 31 Oktober 2019