ENG | BM
Buletin
"Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" ditayangkan di Leammle Glendale selama 7 hari

Penulis: Ashraf Nasser

Filem animasi "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" terus mengangkat industri animasi tempatan ke tahap tertinggi.
Filem animasi "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" terus mengangkat industri
animasi tempatan ke tahap tertinggi.

8 Nov – Filem animasi tempatan "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" terus mencipta kejayaan demi kejayaan apabila ia bakal ditayangkan di Laemmle Glendale selama seminggu bermula 8 November ini.

Tayangan filem terbitan Les' Copaque Production itu akan menyaksikan filem animasi kebanggaan tanah air ini akan bersaing untuk layak ke Anugerah Akademi ke-92 bagi kategori Filem Animasi Cereka Terbaik.

Menurut laporan Animation Magazine, sebanyak 32 filem animasi akan bersaing untuk kategori ini dan "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" merupakan filem pertama Malaysia yang layak untuk kategori ini.

Antara filem animasi lain yang turut bersaing adalah seperti "Frozen II", "Toy Story 4", "How To Train Your Dragon: The Hidden World", "The Lego Movie 2: The Second Part" dan banyak lagi.

Selain itu, filem animasi ini juga akan ditayangkan di Festival Filem Asia Dunia yang akan berlangsung dari 6 hingga 14 November di ArcLight Cinemas di Culver City.

Terdahulu, filem animasi yang mula ditayangkan pada Mac lalu telah berjaya mendapat kutipan pecah panggung di Malaysia dengan kutipan lebih RM26 juta.

Selain ditayangkan di beberapa negara lain, "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" turut berjaya merangkul anugerah di beberapa festival filem antarabangsa termasuk Festival Filem Animasi Antarabangsa Montreal (ANIMAZE) dan menjadi satu-satunya filem Malaysia yang menerima anugerah dari Festival dan Ekspo Antarabangsa Animasi Palm Springs (PSIAF) bagi kategori Filem Animasi Cereka Terbaik.

Dalam pada itu, filem yang berkisarkan mengenai pasangan kembar seiras comel Upin dan Ipin ini juga dipilih untuk mewakili Malaysia untuk Anugerah Asia Akademi Kreatif yang akan berlangsung Disember depan.


Cinema Online, 8 November 2019