ENG | BM
Buletin
Vidyut Jammwal kembali beraksi dalam "Commando 3"

Penulis: Nisa Irina

Vidyut Jammwal merupakan seorang pakar seni bela diri dan Kalaripayattu.
Vidyut Jammwal merupakan seorang pakar seni bela diri dan Kalaripayattu.

2 Okt – Aktor bertubuh tegap Vidyut Jammwal bakal kembali ke layar perak menerusi filem aksi thriller "Commando 3" yang bakal ditayangkan pada 29 November ini.

Berikutan itu, Vidyut telah berkongsikan poster rasmi pertama menerusi laman sosial miliknya. Filem ketiga dari francais itu merupakan sebuah 'spin-off' dari filem "Commando 2".

Menurut laporan dari Bollywood Hungama, aktres Adah Sharma merupakan gandingan Vidyut dalam filem tersebut dan penggambaran telah selesai dijalankan pada Jun lalu.

Demi menjayakan watak masing-masing, Vidyut dan Adah telah menjalani beberapa latihan khas kecergasan selain perlu mengamalkan diet seimbang setiap hari.

Vidyut merupakan pakar seni bela diri dan Kalaripayattu. Segala adegan lagak aksi dalam filem tersebut telah dilakukan oleh dirinya sendiri.

"Francais "Commando" semuanya memberi fokus terhadap aksi, jadi matlamatnya adalah memberikan sesuatu yang bagi setiap filem. Dalam filem pertama, kami perlu melakukan salah satu jenis Kalaripayattu dalam babak-babak aksi.

"Sementara dalam filem kedua, saya banyak menghabiskan masa di gim untuk membina badan dan mengurangkan lemak dalam badan.

Kini saya kembali dalam "Commando 3" dan ia memerlukan satu lagi jenis Kalaripayattu, yang mana saya perlu menambah semula kandungan lemak dalam badan serta membiasakan tubuh saya untuk menjadi lebih fleksibel," dedahnya.

Sebelumnya, pihak produksi mengumumkan filem "Commando 3" akan dirilis pada 6 September namun tarikhnya telah ditunda sehingga ke penghujung bulan November atas sebab-sebab tertentu.

(Sumber foto: Vidyut Jammwal Instagram)
(Sumber artikel: Bollywood Hungama)


Cinema Online, 2 Oktober 2019