ENG | BM
Buletin
Wany Hasrita akui masih kurang ilmu lakonan

Penulis: Nisa Irina

 
Wany Hasrita minta ruang dan masa sebelum kembali berlakon.

17 Sep – Penyanyi Wany Hasrita mengakui berlakon bukanlah sesuatu yang mudah dan merupakan satu cabaran besar buatnya dalam dunia seni.

Sebelum ini, pelantun lagu "Terlalu Memuja" itu pernah memberitahu dia seboleh-bolehnya enggan melibatkan diri dengan dunia lakonan kerana ingin lebih fokus terhadap nyanyian.

Pada bulan Syawal lalu, Wany tampil di kaca televisyen menerusi sebuah telefilem khas Hari Raya Aidilfitri berjudul "Cerita Raya Luar Biasa" bersama penyanyi Andi Bernadee dan Ismail Izzani.

Biarpun menggalas watak sendiri, Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah berkata, dia berasa tidak keruan sepanjang penggambaran itu berlangsung.


"Saya tabik kepada pelakon yang mampu menumpukan sepenuh perhatian selama berhari-hari di set penggambaran. Lebih membuat saya kagum, mereka mampu menjiwai watak tanpa berdepan sebarang masalah.

"Apabila melalui pengalaman itu sendiri ketika berada di lokasi penggambaran, baru saya tahu, berlakon sebenarnya tidak mudah. Ia menuntut kesabaran dan semangat yang tinggi.

"Sepanjang seminggu penggambaran, saya jadi tidak keruan, biarpun saya menjadi diri sendiri. Mungkin kerana tidak biasa, keadaan itu sedikit sebanyak mempengaruhi emosi," katanya yang dipetik menerusi laporan BH Online.

Wany telah membuat debut lakonan menerusi telefilem sulungnya bersama penyanyi Tajul berjudul "Tergantung Rindu" yang ditayangkan pada tahun lalu.

Mengakui dirinya belum cukup ilmu lakonan, Wany meminta untuk diberikan ruang dan masa buat dirinya sebelum kembali berlakon.

Dalam pada itu, dia turut memuji keberanian rakan artisnya, Amira Othman, dalam menjayakan watak-watak berat selepas berjinak-jinak dalam dunia lakonan.

(Sumber foto: Wany Hasrita Instagram)


Cinema Online, 17 September 2019

Pautan Berkaitan
Izara Aishah mahu rehat dari dunia lakonan
Pelakon itu akui sudah bersedia untuk menimang cahaya mata sulungnya bersama suami.
Erra Fazira tak kisah jika digandingkan dengan Yusry
Pelakon itu memberitahu perkara itu tidak akan menjejaskan kerjaya seninya.
Cat Farish nafi cuba larikan diri dari Farid Kamil
Pelakon itu ulas video yang dimuat naik Farid yang berang dia tidak hadir ke set penggambaran.