ENG | BM
Buletin
"Wira" sebuah naskhah aksi bertaraf antarabangsa

Penulis: Ashraf Nasser


Pengarah Adrian Teh bersama pelakon utama Hairul Azreen, Fify Azmi,
Henley Hii dan penaja filem "Wira".

4 Sep – Selepas mencipta kejayaan besar dan fenomena dalam dunia perfileman menerusi filem aksi "Paskal The Movie", Adrian Teh bakal kembali dengan filem aksi terbarunya yang diberi judul "Wira" yang akan menemui penonton tidak lama lagi.

Menurut Adrian yang juga pengarah dan juga penerbit eksekutif filem itu, dia mahu memastikan ia sebuah naskhah aksi yang belum pernah dihasilkan dalam negara dan bertaraf antarabangsa, sekaligus menjadi penanda aras baru buat filem aksi di Malaysia.

"Selepas "Paskal The Movie" saya mahu buat filem aksi juga, tetapi lebih kepada filem aksi yang lebih santai, Sebaliknya berlaku apabila proses pembikin filem ini sangat mencabar sama seperti penggambaran filem sebelum ini.

Menerusi "Wira", Adrian sekali lagi mempertaruhkan bintang utama "Paskal The Movie" iaitu Hairul Azreen sebagai peneraju selain menampilkan beberapa pelakon hebat lain termasuk pelakon Indonesia.

Dalam pada itu, Adrian berkata sebelum penggambaran bermula, pihaknya memberikan latihan kepada setiap pelakon selama tiga bulan untuk berlatih babak aksi selain meningkatkan stamina kesemua pelakon-pelakonnya.

Mereka dilatih oleh juru koreografi aksi terkenal iaitu Yayan Ruhian yang turut berlakon dalam filem ini.

Selain latihan intensif, pihak produksi turut memantau ketat diet setiap pelakon dengan menyediakan makanan sihat sepanjang latihan dan penggambaran berlangsung supaya tidak menjejaskan fokus mereka.

Filem terbitan Act 2 Pictures Sdn Bhd yang dibintangi oleh Hairul Azreen, Fify Azmi, Ismi Melinda, Dato' Hilal Azman, Yayan Ruhian, Dain Said, Henley Hii, Josiah Hogan, Zizan Razak, Jack Lim dan ramai lagi ini akan menemui penonton di seluruh negara bermula 21 November depan.


Cinema Online, 4 September 2019