ENG | BM
Buletin
Yami Gautam mula berjinak dengan projek tanaman organik

Penulis: Nisa Irina

Yami Gautam akan kembali ke ladangnya selepas penggambaran filem "Ginny Weds Sunny".
Yami Gautam akan kembali ke ladangnya selepas penggambaran filem "Ginny Weds Sunny".

24 Sep – Walaupun sudah terkenal sebagai bintang filem, namun kerana minat yang mendalam dalam dunia pertanian, aktres Yami Gautam kini mula berjinak-jinak dalam bidang usahawan projek tanaman organik.

Pada Julai lalu, aktres tersebut telah membeli sebuah ladang di Gohar, Himachal Pradesh dan bercadang untuk kembali ke sana pada November depan untuk mempelajari mengenai penanaman organik.

"Kami memulakan penanaman organik pada tahun lalu dalam skala yang kecil. Saya langsung tidak mengetahui asas mengenai penanaman organik dan ia suatu perkara yang boleh dipelajari sedikit demi sedikit.

"Jadi selepas selesai penggambaran filem "Ginny Weds Sunny" di Manali, saya akan pulang ke ladang saya selama empat ke lima hari untuk memberi fokus kepadanya," ujarnya menerusi laporan dari Bollywood Life.

Tambahnya lagi, dia ingin mempelajari ilmu dan teknik perladangan yang mesra alam serta memahami cara untuk mengurangkan penggunaan baja dan ubat-ubatan tanaman.

Antara jenis tanaman yang telah diusahakannya sejak tahun lalu ialah plum, epal, aprikot, halia, bawang dan tomato.

Dedahnya lagi, bidang itu adalah sesuatu yang sangat berbeza dari kariernya namun dia ingin cuba menjadi seorang usahawan yang berdikari dan bercadang untuk memperluaskan lagi projek itu pada masa hadapan.

"Dalam pada kita sibuk bekerja keras di bandar dan tertekan, proses ini sedikit sebanyak membantu kita untuk rasa lebih dekat dengan alam semula jadi," katanya.

Filem "Ginny Weds Sunny" yang diarahkan Puneet Khanna turut dibintangi oleh aktor Vikrant Massey. Pembikin filem telah pun mengumumkan bahawa penggambaran baru sahaja bermula.

Filem tersebut dijangka akan ditayangkan pada tahun 2020.

(Sumber foto: Global Spa)
(Sumber artikel: Bollywood Life)


Cinema Online, 24 September 2019