ENG | BM
Buletin
Aditya Roy Kapur akui berdepan cabaran lakon dua watak

Penulis: Nisa Irina

Aditya Roy Kapur anggap watak gelap lebih mudah dijayakan berbanding watak hero.
Aditya Roy Kapur anggap watak gelap lebih mudah dijayakan berbanding watak hero.

25 Jan – Aktor Aditya Roy Kapur mengakui berdepan cabaran apabila perlu menjayakan dua watak yang jarak usianya lima tahun berbeza dalam filem aksi thriller "Malang" arahan Mohit Suri.

"Kebiasaannya, anda ada masa untuk membuat latihan dan persiapan sebelum penggambaran. Namun pada ketika itu saya terlibat dengan "Kalank" dan terus ke set penggambaran "Malang".

"Saya membesar dengan menonton filem-filem aksi dan menjadikan Arnold Schwarzenegger, Sylvester Stallone, Jean-Claude Van Damme dan Jackie Chan sebagai idola, itulah satu-satunya persediaan saya untuk menghayati watak ini," katanya.

Seperti yang dilaporkan oleh Times of India, ini merupakan kali pertama Aditya menjayakan watak hero aksi yang disifatkan lebih sukar untuk dibawa berbanding watak gelap.

"Watak gelap lebih bebas sebenarnya. Sebagai hero, anda harus sentiasa betul tetapi watak antagonis tidak mempunyai syarat sebegitu," tambahnya lagi.

Filem itu akan menggabungkan Aditya bersama barisan pelakon lain seperti Disha Patani, Anil Kapoor, Kunal Khemi dan Amruta Khanvilkar.

Diterbitkan oleh Bhushan dan Krishan Kumar dengan kerjasama Luv Ranjan, Ankur Garg serta Jay Shewakramani, "Malang" akan menemui penonton di pawagam pada 7 Februari 2020.

(Sumber foto: Exhibit Mag)
(Sumber artikel: Times of India)


Cinema Online, 25 Januari 2020