ENG | BM
Buletin
Alaya Furniturewalla ingin cipta nama sendiri

Penulis: Nisa Irina

Alaya F teruja untuk berlakon dengan Saif Ali Khan dalam filem debutnya.
Alaya F teruja untuk berlakon dengan Saif Ali Khan dalam filem debutnya.

17 Jan – Aktres baru Alaya Furniturewalla memberitahu penglibatannya dalam industri perfileman bukanlah kerana pihak lain menyuruhnya untuk mengikut jejak langkah ibu Pooja Bedi sebaliknya atas minat yang mendalam.

Menurut Alaya, jika dilihat pada pencapaian akademik, dia mampu untuk menceburi bidang lain tetapi enggan berbuat demikian kerana sudah lama berhasrat untuk menjadi seorang pengarah filem.

"Saya telah mengikuti kursus di Akademi Filem New York selama lima tahun dan selepas pulang ke Mumbai, saya menyertai beberapa kelas lakonan dan tarian selama dua tahun serta kelas bahasa Hindi sebagai persiapan.

"Sejujurnya saya telah beberapa kali ditolak, tetapi kemudiannya saya bernasib baik kerana dipilih untuk terlibat dalam filem "Jawaani Jaaneman".

"Saya berasa senang hati kerana dapat melakukan filem debut saya bersama Encik Saif Ali Khan dan Cik Tabu," katanya yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Tambah Alaya lagi, walaupun kedua ibu bapanya telah bercerai, namun mereka masih mengambil berat tentangnya dan memberi sokongan penuh terhadap karier barunya.

Menerusi filem komedi arahan Nitin Kakkar itu, Alaya akan membawa watak anak kepada pasangan yang sudah lama berpisah lakonan Saif dan Tabu.

Diterbitkan di bawah kerjasama, Jackky Bhagnani, Deepshikha Deshmukh, Saif Ali Khan dan Jay Shewakramani, "Jawaani Jaaneman" akan ditayangkan di pawagam pada 31 Januari ini.

(Sumber foto: Alaya F Instagram)
(Sumber artikel: Mumbai Mirror)


Cinema Online, 17 Januari 2020