ENG | BM
Buletin
Alaya Furniturewalla ingin bintangi filem Sanjay Leela Bhansali

Penulis: Nisa Irina

Alaya F ingin asah bakat terlebih dahulu sebelum bekerja dengan pengarah terkenal.
Alaya F ingin asah bakat terlebih dahulu sebelum bekerja dengan pengarah terkenal.

25 Jan – Aktres baru Alaya Furniturewalla meluahkan keinginannya untuk membintangi filem yang dihasilkan oleh pembikin filem tersohor Sanjay Leela Bhansali tetapi bukan dalam masa terdekat.

Perkara itu berikutan Alaya mengakui dia masih 'hijau' dan ingin mengukuhkan nama dalam industri perfileman terlebih dahulu sebelum melangkah ke peringkat kariernya yang lebih tinggi.

"Saya hanya akan bekerja dengan Sanjay apabila saya betul-betul bersedia sebagai seorang aktres.

"Saya masih mempelajari tarian klasik, sebaik sahaja saya mengasah bakat dengan lebih baik, saya teringin untuk membintangi filem arahannya," katanya yang dipetik dari Times of India.

Selain Sanjay, anak kepada bekas aktres Pooja Bedi itu turut berkeinginan untuk bekerja dengan beberapa pengarah lain seperti Zoya Akhtar, Karan Johar, Rohit Shetty, Shoojit Sircar, Shashank Khaitan dan Shakun Batra.

Terkini, Alaya bersedia untuk tampil di layar perak buat pertama kali menerusi filem sulungnya "Jawaani Jaaneman" bersama aktor terkenal Saif Ali Khan dan Tabu.

Filem komedi kekeluargaan arahan Nitin Kakkar itu diterbitkan oleh Jackky Bhagnani dengan kerjasama Deepshikha Deshmukh, Saif Ali Khan dan Jay Shewakramani.

"Jawaani Jaaneman" bakal menemui penonton di pawagam bermula 31 Januari ini.

(Sumber foto: Alaya F Instagram)
(Sumber artikel: Times of India)


Cinema Online, 25 Januari 2020