ENG | BM
Buletin
Vikram Bhatt sahkan tarikh rilis filem "Hacked"

Penulis: Nisa Irina

Poster 'teaser' filem "Hacked" yang dikongsikan oleh pengarah Vikram Bhatt.
Poster 'teaser' filem "Hacked" yang dikongsikan oleh pengarah Vikram Bhatt.

10 Jan – Pembikin filem Vikram Bhatt akhirnya menamatkan teka teki peminat apabila dia mengumumkan tarikh rilis filem thriller terbaru arahannya "Hacked", iaitu pada 7 Februari depan.

Sehubungan dengan itu, Vikram telah berkongsikan sebuah poster 'teaser' yang dimuat naik ke laman sosial miliknya, menampilkan tarikh rilis terbaru filem yang sebelumnya ditetapkan pada 31 Januari.

"Saya telah menolak tepi kisah seram mengenai dunia roh untuk bercerita mengenai dunia sebenar yang menakutkan dan kehidupan peribadi kita yang terdedah di Internet.

"Seorang penggodam mampu merosakkan hidup anda. "Hacked" mengisahkan seorang wanita yang diekori penggodam yang obsess terhadapnya," kata Vikram yang dipetik dari India Today.

Dalam pada itu, Vikram berasa senang hati kerana dapat bekerjasama dengan syarikat produksi Zee Studios semula selepas filem pertamanya "Fareb" yang ditayangkan pada 1996.

Untuk pengetahuan lanjut, filem itu bakal menandakan debut aktres televisyen terkenal Hina Khan di layar perak. Dia dipilih untuk menjayakan watak seorang pengarang majalah fesyen.

Filem "Hacked" terbitan Amar Thakkar dan Krishna Bhatt bersama Zee Studios turut menampilkan barisan pelakon sampingan seperti Rohan Shah, Mohit Malhotra dan Sid Makkar.

(Sumber foto: Vikram Bhatt Instagram)
(Sumber artikel: India Today)


Cinema Online, 10 Januari 2020