ENG | BM
Buletin
Bhumi Pednekar ingin teroka lebih banyak watak wanita berbeza

Penulis: Nisa Irina

Bhumi Pednekar enggan terima watak yang tiada mesej penting untuk disampaikan.
Bhumi Pednekar enggan terima watak yang tiada mesej penting untuk disampaikan.

10 Jan – Aktres Bhumi Pednekar berhasrat untuk memperkembangkan karier lakonannya dengan menerokai lebih banyak watak wanita yang berbeza menerusi filem yang dibintanginya sepanjang tahun ini.

"Tahun 2020 akan menyaksikan saya menjayakan pelbagai watak wanita yang lebih berdikari, berkeyakinan tinggi dan individualistik. Saya sangat teruja apabila memikirkan saya berpeluang untuk membawa watak-watak sebegitu.

"Saya harap saya dapat memberi inspirasi kepada golongan wanita untuk menyerlahkan diri mereka, sentiasa berpendirian tetap dan berpegang kepada apa yang mereka percayakan.

"Melihat golongan wanita dipertanding dan diraikan menerusi pelbagai filem membuatkan saya berasa senang hati kerana terlibat sama," katanya yang dipetik dari The New Indian Express.
Dalam pada itu, Bhumi turut memberitahu kini dia bersikap selektif dan enggan menerima tawaran watak yang tidak mempunyai mesej penting untuk disampaikan.

Kali terakhir Bhumi dilihat di layar lebar adalah menerusi filem komedi arahan Mudassar Aziz "Pati Patni Aur Woh" bersama Kartik Aaryan dan Ananya Panday yang ditayangkan pada Disember lalu.

Tahun ini, Bhumi akan tampil membintangi beberapa filem baru seperti "Shubh Mangal Zyada Saavdhan", "Bhoot – Part One: The Haunted Ship" dan "Dolly Kitty Aur Woh Chamakte Sitare".

(Sumber foto: Vogue India)
(Sumber artikel: The New Indian Express)


Cinema Online, 10 Januari 2020