ENG | BM
Buletin
Pengarah anggap Disha Patani aktres terbaik untuk terajui "Malang"

Penulis: Nisa Irina

Disha Patani masih meneruskan latihan menari walaupun cedera di bahagian lutut.
Disha Patani masih meneruskan latihan menari walaupun cedera di bahagian lutut.

15 Jan – Pengarah Mohit Suri memberitahu filem aksi thriller "Malang" tidak akan lengkap jika aktres Disha Patani tidak dipilih untuk terlibat sama dalam menjayakan filem tersebut.

"Selain mempunyai wajah jelita, Disha adalah seorang gadis yang kuat dan berani. Maka, dia mudah untuk memahami kualiti wataknya dengan baik.

"Watak Sara adalah seorang gadis yang bersemangat tinggi dan menjalani hidup mengikut kehendaknya dan saya rasa Disha sangat sesuai untuk membawa watak ini.

"Saya banyak menerima maklum balas yang baik mengenai watak Disha setakat ini. Saya pasti para penonton juga akan menyukai wataknya selepas menonton "Malang"," kata Mohit yang dipetik dari Filmfare.

Sementara itu, pada Ahad lalu Disha telah memuat naik video yang menunjukkan dia mengalami kecederaan di bahagian lutut ketika berlatih menari untuk filem tersebut.

Walau bagaimanapun, pakar gimnas dan seni bela diri MMA itu masih mampu untuk meneruskan latihan seperti biasa di bawah pengawasan jurulatih tariannya.

Selain Disha, filem "Malang" turut dibintangi oleh Aditya Roy Kapur, Anil Kapoor dan Kunal Kemmu. Ia bakal ditayangkan di pawagam bermula 7 Februari ini.

(Sumber foto: Bazaar India)
(Sumber artikel: Filmfare)


Cinema Online, 15 Januari 2020