ENG | BM
Buletin
Hrithik Roshan jadi pilihan untuk terajui filem thriller Karan Johar?

Penulis: Nisa Irina


Hrithik Roshan mungkin akan jayakan watak ketua perisik R.N. Kao.

15 Jan – Aktor Hrithik Roshan dilaporkan telah dipilih untuk membintangi filem thriller terbaru terbitan Karan Johar mengenai ketua perisik dan pengasas agensi Research and Analysis Wing (R&AW) R.N. Kao.

"Hrithik telah dihubungi oleh Dharma Productions untuk berbincang mengenai filem yang mereka umumkan pada minggu lalu.

"Aktor itu dilihat berminat dengan filem tersebut, tetapi buat masa ini dia masih belum menandatangani projek itu secara rasmi," dedah satu sumber yang dipetik dari Bollywood Hungama.

Seperti yang diumumkan oleh Karan, filem itu merupakan sebuah adaptasi dari buku biografi nukilan Nitin A. Gokhale "R.N. Kao: Gentleman Spymaster" yang diterbitkan oleh Bloomsbury India pada November 2019.

Menurut laporan media, filem itu akan mengisahkan kehidupan sebenar R.N. Kao sebagai pengasas agensi R&AW dan bagaimana dia berjaya menceburi dunia perisikan antarabangsa.

Kali terakhir Hrithik dilihat di layar perak adalah menerusi filem aksi "War" bersama aktor Tiger Shroff dan selepas itu dia tidak terlibat dengan sebarang projek baru.

Sementara itu, Karan Johar pula baru sahaja mengumumkan tarikh rilis filem terbarunya "Mr. Lele" yang dibintangi oleh aktor Varun Dhawan sebagai peneraju utama.

(Sumber foto: Santa Banta)
(Sumber artikel: Bollywood Hungama)


Cinema Online, 15 Januari 2020