ENG | BM
Buletin
Jackie dan Tiger Shroff akhirnya disatukan dalam "Baaghi 3"

Penulis: Nisa Irina

Gandingan Tiger dan Jackie Shroff akan menarik lebih ramai peminat untuk menonton "Baaghi 3".
Gandingan Tiger dan Jackie Shroff akan menarik lebih ramai peminat untuk menonton "Baaghi 3".

26 Jan – Penantian peminat untuk melihat aktor Tiger Shroff bersama bapanya Jackie Shroff berkongsi skrin akhirnya berakhir apabila penerbit Sajid Nadiadwala berjaya satukan mereka dalam filem "Baaghi 3".

"Ramai yang menanti untuk melihat Tiger berganding dengan bapanya Jackie sejak kami lancarkan dia. Terdapat pelbagai spekulasi sebelum ini tetapi tiada siapa mampu satukan mereka dalam filem sejak enam tahun lalu.

"Semuanya kerana mereka bersikap selektif terhadap watak dan filem. Ahmed (pengarah) dan saya berpendapat bahawa Jackie patut ada dalam filem ini selepas meneliti skrip dan jalan ceritanya," ujar Sajid yang dipetik dari Hindustan Times.

Menurut laporan, Jackie akan menjalani penggambaran selama lima hari, di mana dia akan membawa watak seorang polis sementara Tiger dan Riteish Deshmukh sebagai anak-anaknya dalam filem tersebut.

Filem arahan Ahmed Khan yang turut menampilkan aktres Shraddha Kapoor dan Ankita Lokhande itu telah mula difilemkan di Mumbai dan Serbia sejak September tahun lalu.

Sehubungan dengan itu, satu sumber menyatakan gandingan anak beranak Shroff akan menarik lebih ramai peminat untuk menonton "Baaghi 3".

"Baaghi 3" akan menggegarkan pawagam bermula 6 Mac 2020.

(Sumber foto: Rediff)
(Sumber artikel: Hindustan Times)


Cinema Online, 26 Januari 2020