ENG | BM
Buletin
Kangana Ranaut bakal galas watak juruterbang tentera udara

Penulis: Nisa Irina

Kangana Ranaut akui sudah lama teringin untuk jayakan watak seorang tentera.
Kangana Ranaut akui sudah lama teringin untuk jayakan watak seorang tentera.

25 Jan – Dalam pada sibuk mempromosikan filem "Panga", aktres Kangana Ranaut dilaporkan bakal membintangi sebuah filem baru terbitan Ronnie Screwvala bertemakan Angkatan Tentera Udara India.

Sehubungan dengan itu, aktres berbakat itu telah diberi tanggungjawab untuk menggalas watak seorang juruterbang bagi angkatan tentera udara tersebut.

"Sudah lama saya teringin untuk bawa watak tentera dan terpesona dengan Angkatan Tentera sejak kecil. Saya menganggap mereka pewira yang menjaga keamanan negara dan rakyat kami.

"Jadi saya amat gembira kerana terlibat dengan filem ini. Saya akan menjalani latihan sebelum penggambaran bermula. Pengarah akan mengupah jurulatih profesional untuk sama terlibat," ujarnya yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Pada dua minggu lalu, Kangana telah menandatangani kontrak rasmi bagi projek filem yang bakal diarahkan oleh Sarvesh Mewara itu. Sesi penggambaran dijangka akan bermula pada Julai depan.

"Saya amat berterima kasih kepada Ronnie dan Sarvesh kerana menawarkan skrip hebat ini kepada saya yang meraikan anggota tentera kami," tambahnya lagi.

Buat masa ini, Kangana sedang sibuk membuat persiapan serta menjalani penggambaran bagi filem biopik bekas Ketua Menteri Tamil Nadu J. Jayalalithaa berjudul "Thalaivi".

(Sumber foto: Kangana Ranaut Instagram)
(Sumber artikel: Mumbai Mirror)


Cinema Online, 25 Januari 2020