ENG | BM
Buletin
Shahid Kapoor berani tanggung risiko demi "Jersey"

Penulis: Nisa Irina

Shahid Kapoor akan kembali ke set penggambaran
Shahid Kapoor akan kembali ke set penggambaran "Jersey" selepas kecederaannya pulih.

14 Jan – Kemalangan kecil tidak dijangka yang berlaku di set penggambaran filem sukan "Jersey" di sebuah stadium kriket di Mohali baru-baru ini telah menyebabkan aktor Shahid Kapoor mengalami kecederaan.

Difahamkan ketika kejadian, Shahid telah terkena bola yang dipukul hingga menyebabkan pendarahan dan memerlukannya menerima sebanyak 13 jahitan di bahagian bawah mulut.

"Shahid bermain kriket dengan baik dan berlatih seperti biasa sebelum penggambaran bermula, apabila sebiji bola yang dipukul terkena tepat pada bawah bibirnya menyebabkan luka besar dan pendarahan.

"Dia kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan. Menurut doktor, luka tersebut terpaksa dijahit. Buat masa ini dia perlu berehat sehingga lukanya sembuh," dedah satu sumber yang dipetik dari Hindustan Times.

Tambah sumber itu lagi, Shahid dijangka akan kembali ke set penggambaran dalam tempoh empat ke lima hari lagi selepas mendapat rehat yang secukupnya.

Sebuah foto yang tular di media sosial baru-baru ini melihatkan Shahid bertopeng bagi menutup kecederaannya ditemani isteri, Mira Rajput, di lapangan terbang Mumbai menimbulkan kerisauan di kalangan peminat.

"Terima kasih kerana mengambil berat tentang saya. Ya, saya telah menerima beberapa jahitan tetapi saya akan sembuh secepat mungkin.

"#Jersey telah mengambil darah saya tetapi dengan skrip sebagus ini, ianya berbaloi," tulis Shahid menerusi sebuah entri yang dimuat naik di Twitter.

"Jersey" merupakan sebuah 'remake' kepada filem Telugu yang sama judul. Filem versi Hindi itu diarahkan oleh Gowtham Tinnanuri, yang juga bertindak sebagai pengarah bagi filem asal.

Filem itu akan menemui penonton di pawagam bermula 28 Ogos 2020.

(Sumber foto: Shahid Kapoor Instagram)
(Sumber artikel: Hindustan Times)


Cinema Online, 14 Januari 2020