ENG | BM
Buletin
Pankaj Tripathi ingin rehat berlakon buat sementara

Penulis: Nisa Irina

Pankaj Tripathi mempunyai lapan buah filem yang dibintanginya pada 2020.
Pankaj Tripathi mempunyai lapan buah filem yang dibintanginya pada 2020.

11 Jan – Aktor Pankaj Tripathi bercadang untuk berehat dari dunia lakonan selama 40 hari bermula bulan Jun tahun ini memandangkan jadual kerjanya padat sepanjang dua tahun lalu.

"Jadual saya sangat sibuk sepanjang dua tahun lalu. Saya bekerja tanpa henti, ianya memenatkan dan mengganggu emosi, fizikal dan mental saya.

"Saya sering menerima dua tawaran filem setiap hari, tetapi kini saya membuat keputusan untuk memperlahankannya buat seketika.

"Perancangan saya ketika tempoh berehat itu adalah meluangkan masa bersama keluarga, pergi melancong dan merancang pelan untuk masa akan datang," katanya seperti yang dilaporkan oleh Mumbai Mirror.

Untuk rekod, Pankaj telah membuat debut di dunia Bollywood menerusi filem "Run" yang diterajui oleh aktor Abhishek Bachchan pada 2004 dan tahun 2020 akan menyaksikannya dalam lapan buah filem.

Filem-filem tersebut ialah "'83" lakonan Ranveer Singh, "Ludo" arahan Anurag Basu, biopik "Gunjan Saxena: The Kargil Girl", "Abhi Toh Party Shuru Hui Hai", "Mimi", "Angrezi Medium" sebagai penampilan cameo, dan "Shakeela".

Selain itu, Pankaj juga akan berganding semula dengan bintang terkenal Salman Khan menerusi sebuah biopik berjudul "Kaagaz" di bawah arahan Satish Kaushik selepas tampil dalam "Dabangg 2".

Filem itu merupakan terbitan kerjasama Salman dan Karan Johar. Ia berkisar mengenai Lal Bihari, seorang petani yang diisytiharkan mati dalam rekod kerajaan.

(Sumber foto: Biz Asia Live)
(Sumber artikel: Mumbai Mirror)


Cinema Online, 11 Januari 2020