ENG | BM
Buletin
Priyamani bakal berganding dengan Ajay Devgn dalam "Maidaan"

Penulis: Nisa Irina

Priyamani dianggap sesuai jayakan watak ibu dalam Maidaan.
Priyamani dianggap sesuai jayakan watak ibu dalam "Maidaan".

21 Jan – Aktres filem India Selatan terkenal Priyamani telah dipilih untuk menggantikan tempat Keerthy Suresh dalam filem sukan Hindi yang diterajui oleh Ajay Devgn berjudul "Maidaan".

Sebelumnya, pembikin filem terpaksa mengeluarkan Keerthy dari projek berkenaan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak berikutan wajahnya kelihatan terlalu muda untuk menjayakan watak ibu dalam filem tersebut.

"Keerthy telah menjalani penggambaran filem itu selama sehari. Selepas penggambaran pembikin filem dan Keerthy berpendapat yang dia kelihatan terlalu muda.

"Ia disebabkan dia telah menurunkan berat badan sejak terlibat dengan filem itu untuk menjayakan watak seorang ibu sepertimana yang terkandung dalam skrip," dedah satu sumber yang dipetik dari India Today.

Buat pengetahuan lanjut, Priyamani merupakan pemenang Anugerah Nasional selepas membuktikan bakat lakonannya yang versatil dalam lebih 50 buah filem India Selatan pelbagai dialek.

Diterbitkan oleh Zee Studios, Boney Kapoor, Akash Chawla dan Arunava Joy Sengupta, filem arahan Amit Ravindernath itu bakal ditayangkan di pawagam pada 27 November 2020.

Dalam perkembangan lain, Priyamani akan dilihat sebagai watak Sasikala menerusi filem biopik J. Jayalalithaa berjudul "Thalaivi" yang diterajui oleh aktres terkenal Kangana Ranaut.

(Sumber foto: Kerala9)
(Sumber artikel: India Today)


Cinema Online, 21 Januari 2020