ENG | BM
Buletin
Selebriti Malaysia rayu rakyat akur arahan kerajaan

Penulis: Nisa Irina

Antara selebriti tempatan yang bantu kerajaan dalam membendung penularan COVID-19.
Antara selebriti tempatan yang bantu kerajaan dalam membendung penularan COVID-19.

19 Mac – Kes penularan pandemik COVID-19 yang dilihat meningkat di Malaysia adalah faktor kerajaan bertindak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac ini.

Namun baru-baru ini terdapat segelintir pihak tidak bertanggungjawab melanggar perintah tersebut dan masih keluar rumah tanpa sebab yang munasabah.

Sehubungan dengan itu, selebriti-selebriti tempatan merayu kepada rakyat untuk patuh kepada arahan kerajaan dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Fahami jaluran wabak COVID-19. Ada sebab disuruh duduk di rumah. Tolong jangan keluar tanpa urusan penting! Sangat penting!!

"Ya bosan. Ya ekonomi terganggu. Ya banyak kerja tertunda. Tetapi semua itu tidak bererti andai kesihatan kita menjadi taruhan. Malah bukan kita sebagai individu tetapi seluruh keluarga, seluruh kawasan, seluruh daerah, seluruh negeri, seluruh negara akan pincang.

"Kalau ada yang degil, tolonglah sekolahkan atau talbiahkan secara berjemaah (cara baik) kerana tindak tanduknya akan mengundang parah kepada orang lain," ujar pelakon dan penyanyi Erra Fazira menerusi Instagram.

Selain itu, pelakon tersohor Beto Kusyairy turut bersatu dalam menasihati rakyat tempatan supaya sentiasa berwaspada dan berusaha untuk mengurangkan penyebaran Coronavirus.

"Elakkan berhimpun dan berhubung rapat dengan orang lain di tempat-tempat awam seperti terminal bas, pasaraya dan sebagainya. Jangan gelabah. Pasar raya tak tutup pun. Ini penting untuk menghentikan penularan virus.

"Mana yang nak balik kampung, anda bakal membawa risiko penyebaran virus di kampung terutamanya pada orang-orang tua iaitu mak, ayah, atuk dan nenek anda.

"Ini juga adalah ujian keupayaan rakyat untuk bekerjasama kerana kita bukan sahaja berusaha untuk melindungi orang yang kita kenal, tetapi juga orang yang kita tidak tahu atau mungkin peduli," ujarnya di Twitter.

Pelakon Syafiq Kyle juga tidak ketinggalan untuk sama-sama mengingati rakyat supaya bertenang dan berusaha untuk membendung penularan wabak yang meragut nyawa ini.

"Tolong duduk di rumah kalau tiada keperluan untuk keluar okay? Sama-sama kita tolong bendung penularan COVID-19 dan berdoa agar segalanya kembali pulih seperti sedia kala.

"Jaga diri and cuba elakkan tempat sesak. Pakai 'mask' jika perlu dan cuci tangan sekerapnya. Selebihnya kita doa agar dijauhkan daripada sebarang perkara memudaratkan," tulisnya menerusi entri di Twitter.

(Sumber foto: Erra Fazira, Beto Kusyairy, Syafiq Kyle Instagram)


Cinema Online, 19 Mac 2020

Pautan Berkaitan
Filem "Roh" terpaksa tunda tayangan ke tarikh baru
Sebuah lagi filem tempatan yang terpaksa ditunda akibat penularan wabak COVID-19.
FFM 31 terpaksa ditunda ke tarikh yang baru
Perkara itu terpaksa dibuat berikutan penularan wabak COVID-19 yang semakin berleluasa.
Penggambaran "Algojo" dibatalkan kerana COVID-19
Pihak produksi terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu apabila terpaksa tunda penggambaran.
Aznil Nawawi bantu beri kesedaran pada masyarakat
Selebriti itu menasihatkan masyarakat supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.