ENG | BM
Buletin
Selebriti tempatan sebulat suara nasihatkan rakyat #StayAtHome

Penulis: Nisa Irina


Antara selebriti yang sama-sama menasihatkan rakyat Malaysia supaya duduk di rumah.

24 Mac – Susulan penularan pandemik COVID-19 yang kini berada di tahap membimbangkan, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 hingga 31 Mac.

Walaupun tempoh berkenaan hanya lebih kurang dua minggu, namun terdapat sesetengah pihak yang masih ingkar dengan arahan kerajaan untuk tidak keluar rumah jika tiada keperluan penting.

Justeru, selebriti-selebriti tempatan turut membantu dalam memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memberi kerjasama dalam membanteras wabak yang telah meragut ribuan nyawa ini.

Jika dilihat menerusi laman sosial, kini 'hashtag' #StayAtHome sudah pun tular sebagai peringatan untuk semua pihak kekal berada di rumah sebagai langkah membendung penularan COVID-19.

 


"Saya ingin menasihatkan anda semua tolong duduk di rumah dan jangan keluar untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan anda pada waktu kritikal ini. Tolong jangan pentingkan diri," ujar pelakon jelita Nur Fazura.


"Kepada rakyat Malaysia, saya mendoakan kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan anda semua. Kita sama-sama boleh membantu kerajaan dan juga masyarakat untuk kekal berada di rumah," kata pelakon versatil Bront Palarae.


"Kita kena bayangkan jika kita terkena jangkitan ini, kita tidak mahu menyebarkan ia kepada orang lain, terutamanya orang-orang tersayang dan golongan yang lebih tua," ujar pelakon Jehan Miskin.


"Saya hanya ingin memberi nasihat supaya tolong duduk di rumah dan jaga keselamatan anda," pendek dan mudah peringatan daripada pelakon Tiz Zaqyah.


"Kita jadi orang yang bertanggungjawab, duduk di rumah dan meluangkan masa dengan keluarga, serta menjaga kesihatan diri," itulah nasihat daripada pelakon kecil molek Sharifah Amani.


"Semoga virus ini akan pergi buat selama-lamanya. Jadilah orang yang bertanggungjawab dan duduk di rumah," nasihat pelakon Iedil Dzuhrie Alaudin.


"Tolonglah jangan keluar rumah selama dua minggu ini. Ini untuk mengelakkan Coronavirus daripada terus merebak lagi. Jaga diri semua. Kita jaga kita," itulah peringatan daripada pelakon Tony Eusoff.


"Jika anda bosan, kami pun bosan juga tetapi banyak benda menarik dan menyeronokkan yang anda boleh lakukan ketika berada di rumah," pelakon Yasmin Hani menyenaraikan beberapa aktiviti yang anda boleh lakukan di rumah ketika kuarantin.



(Sumber video: Nur Fazura, Rosana Musa & Jehan Miskin Instagram)


Cinema Online, 24 Mac 2020

Pautan Berkaitan
Rita Rudaini puji masyarakat punyai kesedaran terhadap PKP
Pelakon itu turut menasihatkan masyarakat supaya patuh Perintah Kawalan Pergerakan.
PVTM kesal masih ada produksi ingkar PKP
Presidennya Jurey Latiff gesa produksi untuk tidak bersikap pentingkan diri dan utamakan keselamatan.
Aznil Nawawi bantu beri kesedaran pada masyarakat
Selebriti itu menasihatkan masyarakat supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.