ENG | BM
Buletin
Sooraj Barjatya teruja Salman Khan tertarik dengan idea projek filemnya

Penulis: Nisa Irina

Sooraj Barjatya mempunyai seorang anak yang bakal mengikut jejak langkahnya sebagai pengarah.
Sooraj Barjatya mempunyai seorang anak yang bakal mengikut
jejak langkahnya sebagai pengarah.

23 Jan – Pembikin filem Sooraj Barjatya meluahkan keterujaannya apabila bintang terkenal Salman Khan menyukai idea yang dibentangkan bagi projek filem terbarunya akan datang.

"Buat masa ini saya masih menulis skripnya dan dijangka akan siap dalam setahun dua. Saya telah berbincang dengan Salman idea filem ini dan dia menyukainya.

"Ia sebuah filem bertemakan kekeluargaan yang padat dengan drama dan emosi," jelasnya seperti yang dilaporkan oleh Mumbai Mirror.

Buat pengetahuan lanjut, Sooraj dan Salman pernah bekerjasama dalam dua buah filem pada sebelum ini iaitu "Maine Pyar Kiya" (1989) dan "Prem Ratan Dhan Payo" (2015).

Dalam perkembangan lain, Sooraj sedang sibuk membuat persiapan bagi membantu anaknya Avnish, yang bersedia untuk membuat debut sebagai pengarah filem.

"Avnish akan membuat debut di bangku pengarah. Saya hanya memberi panduan kepadanya, ia adalah sebuah filem berkisarkan tentang kisah cinta yang rumit," tambahnya lagi.

Untuk rekod, Sooraj pernah dinobatkan sebagai pengarah terbaik sebanyak dua kali semasa Anugerah Filmfare bagi filem "Maine Pyar Kiya" dan "Hum Aapke Hain Koun..!"

(Sumber foto: Koimoi)
(Sumber artikel: Bollywood Hungama)


Cinema Online, 23 Januari 2020